
|
Pendosa Tegar
|
Aku melangkah dengan izin-Nya
Tiada kata sebelum mengeksplorasi diri selain niat kerana Ilahi dan perkongsian isi di dalam blog si pendosa ini. Melangkah dari satu tapak ke satu tapak. Dari meniarap beralih ke merangkak seterusnya berjalan dan kini berlari kononnya nak kejar duniawi yang tidak hakiki. Contengan idea yang entah dari mana. Kadangnya, tika duduk sendirian sambil muhasabah diri yang dosanya setinggi gunung seluas lautan ini, datangnya bait-bait kata. Kadang kala kata-kata semangat muncul dan kadang kala kata-kata semangat itu musnah dek hasutan dan godaan halus makhluk yang dicipta dari api. Hidup memang begini. Kata orang, ianya lumrah. Tapi bagi si pendosa ini, ianya perjalanan yang perlu kita ekori. Hidup punya 'signboard'. Itu dikira panduan hatta pendorong tika sesat. Alhamdulillah, hidup makin maju ke hadapan. Tiada lagi mundur. Hidup yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah ini memang indah. Manisnya lagi apabila bersama rakan-rakan yang saling memberi sokongan. Ukhwah sampai Syurga itu satu impian besar. Terjalinnya ukhwah semuanya dengan izin Allah. Meninggalkan zaman Jahiliyyah dan melangkah setapak untuk berhijrah sememangnya memberi kesan kepada pendosa. Kehilangan sahabat lama sudah semestinya pahit untuk ditelan apatah lagi mengimbau kembali kenangan yang tidak ada jeriji. Rindu kesemuanya. Ingin bertentang mata sekali lagi. Lutut bertemu lutut. Segala yang tertulis dalam pengisian laman ini adalah kerana Dia. Dengan izin-Nya, si pendosa ini dapat berkongsi cerita yang datangnya dari Maha Esa kepada si pendosa untuk dicoretkan. Reda-Nya yang diharapkan. Lillahi taala yang disematkan.
Aku melangkah dengan izin-Nya
Moga Allah reda
|